Title of article :
Kesan Anti-hiperglisemia Ekstrak Metanol Gynura procumbens terhadap Kesuburan dan Libido Tikus Jantan Teraruh Diabetes
Author/Authors :
Noor, Mahanem Mat Universiti Kebangsaan Malaysia - Fakulti Sains dan Teknologi - Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Malaysia , Radzuan, Nani Rahayu Mohd. Universiti Kebangsaan Malaysia - Fakulti Sains dan Teknologi - Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Malaysia
Abstract :
Gynura procumbens (GP) adalah sejenis tumbuhan herba yang digunakan bagi merawat pelbagai jenis penyakit seperti rheumatoid, darah tinggi, masalah ginjal dan juga diabetes. Diabetes Mellitus (DM) adalah sejenis penyakit kronik dan salah satu komplikasi penyakit ini ialah masalah kesuburan dan libido. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti potensi ekstrak GP dalam mengatasi masalah kesuburan dalam kalangan pesakit diabetes. Ekstrak metanol GP dengan fraksi etil asetat digunakan dalam kajian ini. Aruhan diabetes dilakukan dengan suntikan dadah Streptozotosin sebanyak 55 mg/kg berat tikus secara intravena. Empat kumpulan tikus teraruh diabetes dirawat dengan 50 mg/kg GP (n=12), 300 mg/kg GP (n=12) dan 300 mg/kg metformin (n=12). Kumpulan ke-empat adalah kumpulan diabetik tanpa sebarang rawatan dan dijadikan kawalan negatif (n=12) dan satu kumpulan tikus normal yang diberi air suling dijadikan kawalan normal (n=12). Satu minggu selepas rawatan, enam ekor tikus daripada setiap kumpulan diuji kelakuan seksual sebelum dikorbankan untuk kajian kesuburan. Ujian yang sama dilakukan ke atas baki haiwan dalam setiap kumpulan pada minggu kedua rawatan. Pada semua dos rawatan, ekstrak GP menunjukkan kesan anti-hiperglisemia sebagaimana kumpulan metformin. Rawatan dengan dos rendah GP (50 mg/kg) selama dua minggu mencatatkan bilangan sperma yang paling tinggi iaitu sebanyak (35.52 ± 6.54) × 10^6 sperma berbanding kawalan diabetik, (23.72 ± 5.12) × 10^6 sperma. Kumpulan ini turut mencatatkan peratus jumlah pergerakan sperma gred a (paling progresif) yang tinggi iaitu sebanyak 38.41% berbanding 12.79% bagi kumpulan kawalan diabetik. Tikus yang dirawat dengan GP turut menunjukkan peningkatan kesan libido dengan tempoh pendam pemanjatan dikurangkan dan bilangan pemanjatan meningkat berbanding tikus kawalan diabetik. Kajian ini menunjukkan ekstrak metanol GP dengan fraksi etil asetat ini mampu meningkatkan kesuburan dan libido tikus diabetik pada dos yang rendah (50 mg/kg) serta dalam tempoh yang singkat.
Keywords :
Diabetes , Gynura procumbens (GP) , kelakuan seksual , kualiti sperma